Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Benjamin Mora meraih kemenangan pertama sebagai jurulatih kelab Kanada, York United.
Ini selepas kelab Canadian Premier League (CPL) itu berjaya menewaskan pendahulu liga, Atletico Ottawa dalam aksi terbaru liga yang berlangsung pada hari ini.
Meskipun baru dilantik sebagai jurulatih pada 5 Jun lalu, sentuhan yang dimiliki jurulatih berusia 44 tahun itu semakin terserlah bersama The Nine Stripes.
Selepas berjaya mengikat Vancouver FC 2-2 dalam aksi CPL yang berlangsung pada 10 Jun lalu, York United bersemangat bila turun menentang Ottleti.
Walaupun beraksi di tempat lawan, itu bukan halangan buat pasukan itu untuk memburu kemenangan buat jurulatih Mexico itu.
The Nine Stripes terlebih dahulu di hadapan menerusi Brian Wright pada minit ke-36 selepas menerima hantaran Austin Ricci. Kelebihan 1-0 dipertahankan sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, York United semakin ghairah memburu gol kedua perlawanan. Tugas memburu gol pasukan itu diletakkan pada bahu Wright dan Austin Ricci.
Bekas penyerang New England Revolution itu menambah gol kedua pelawat pada minit ke-49.
Gol tersebut mendorong Atletico Ottawa menggandakan asakan untuk merapatkan jurang gol. Hasilnya, Amer Didic menyumbat gol buat tuan rumah pada minit ke-69.
Ottleti berusaha mencari gol penyamaan tetapi anak buah Mora memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan York United naik ke tangga keempat dengan 14 mata. Sementara Atletico Ottawa pula kekal di puncak liga dengan 21 mata.
Selepas ini, Mora akan membimbing York United menghadapi tentangan Pacific FC pada 20 Jun ini.