Benteng pertahanan Central Coast Mariners yang kerap bocor dijangka meresahkan jurulatih pasukan itu, Mark Jackson menjelang aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini kerana pasukan itu dibolosi sebanyak 10 kali dalam tujuh perlawanan terakhir mereka. Terbaru, CCM diikat Perth Glory 1-1 dalam aksi terbaru A-League.
Bekas penyerang Fulham, Adam Taggart meletakkan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama. Bintang baru CCM, Haine Eames memastikan pelawat meraih satu mata pada akhir perlawanan.
Meskipun CCM masih belum tewas dalam lima aksi terakhir mereka, kerapuhan pertahanan juara Piala AFC 2023/24 itu memeningkan kepala Jackson.
Ini kerana kelab Australia itu sudah dibolosi 17 gol dalam saingan ACLE. Malah, CCM juga tersingkir selepas tewas lima daripada enam perlawanan Liga Timur ACLE.
Situasi ini dilihat memberi kelebihan kepada lawan mereka yang seterusnya, Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini kerana juara Liga Super 2023 itu memiliki barisan penyerang hebat seperti Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva.
Malah, JDT turut merekrut tiga tonggak import baru dari Sepanyol iaitu Roque Mesa, Jonathan Viera dan Alvaro Gonzalez.
Kehadiran tiga tonggak baru ini dijangka menambah sengat pasukan itu bila berdepan CCM di Gosport pada 11 Februari 2025.