Bek tengah baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Alvaro Gonzalez menyifatkan ia satu penghormatan untuk menyertai pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Pemilik nama sebenar Alvaro Gonzalez Soberon itu menyertai JDT sebagai ejen bebas pada 4 Februari lalu.
Sebelum ini, beliau pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo di Al-Nassr dan satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah.
Selain dua kelab Asia Barat itu, Gonzalez juga pernah beraksi untuk Marseille, Racing Santander, Real Zaragoza, Espanyol dan Villareal.
Bek tengah berusia 35 tahun itu mengakui cukup teruja apabila dapat menyertai pasukan yang diberi jolokan Harimau Selatan itu.
“Saya rasa gembira dan bangga menyertai kelab gergasi ini. Mari kita bekerja keras dan menikmati (permainan) di atas padang,” katanya di Instagram.
Gonzalez turut mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana memberi kepercayaan dan sokongan kepada beliau bila menyertai JDT.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan anda sejak saya tiba di sini. Ia satu penghormatan menjadi sebahagian daripada keluarga (kelab) ini,” tambahnya.
Gonzalez disertai dua lagi rakan senegara, Jonathan Viera dan Roque Mesa sebagai rekrut terbaru JDT.
Kudrat tiga bintang Sepanyol itu dijangka ditagih Hector Bidoglio untuk menempuh baki dua aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). JDT bakal berdepan Central Coast Mariners pada 11 Februari ini.