Aksi AFC Champions League Elite (ACLE) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) vs Pohang Steelers pastinya menjadi tumpuan dengan kelibat 5 bintang sensasi seperti Bergson Da Silva.
JDT kembali ke laman sendiri bagi melayani kunjungan wakil dari Korea Selatan ini setelah membawa pulang 3 mata dari bumi Australia minggu lalu dan berada di tangga ke-5 ACLE.
Manakala Pohang Steelers yang kini menghuni tangga ke-8 berdepan misi wajib menang untuk layak ke pusingan kalah mati meskipun sedang bergelut dengan prestasi semasa.
Di sebalik kehangatan aksi ini, 5 pemain bintang JDT dan Pohang Steelers bakal menjadi tumpuan peminat kedua-dua pasukan.
Bergson
Kelibat Bergson Da Silva sudah pasti akan menjadi sasaran barisan pertahanan Pohang untuk dirantai setiap gerak geri peledak dari Brazil ini daripada bergerak bebas di kawasan lawan.
Statistik musim ini cukup menggambarkan betapa bahayanya Bergson jika diberi ruang apabila pemain berusia 34 tahun ini sudah mencetak 32 gol dan 7 bantuan jaringan dalam semua kejohanan.
Eddy Israfilov
Benteng pertahanan JDT tampak cukup ampuh musim ini ditambah dengan kehadiran Israfilov yang begitu tenang mengawal dan mengemudi tempo pasukan dari belakang.
Khidmat Israfilov dijangka terus dipertaruhkan oleh Hector Bidoglio bagi membentuk gandingan kebal bersama Park Jun-heong dan Alvaro Gonzalez untuk mengekang asakan Pohang.
Oscar Arribas
Pemain sayap lincah ini semakin hari semakin membuktikan dirinya layak untuk berada di dalam skuad JDT dengan aksi konsisten ditambah larian deras yang membuka ruang buat penyerang.
Musim ini Arribas sudah terlibat dengan 6 jaringan buat JDT dalam kesemua kejohanan selain turut melakar nama selaku penjaring ketika menewaskan Ulsan HD dalam aksi ACLE lalu.
Jorge Teixera
Jentera serangan Pohang pastinya menjadi tertumpu kepada nama Jorge Teixera yang miliki kelebihan bagi mencari ruang dan membaca hantaran dari rakan sepasukan untuk meledak jaringan.
Dalam saingan ACLE musim ini, Teixera sudah menjaringkan 2 gol dalam 6 penampilan dan sentuhan penyerang kelahiran Brazil dijangka bakal ditagih oleh pengendali, Park Tae-ha.
Han Chan-hee
Pertemuan malam ini bakal menyaksikan pertembungan dua jeneral tengah antara Natxo Insa (JDT) serta pemain Pohang, Han Chan-hee yang dilihat bakal diturunkan di dalam senarai.
Chan-hee mempunyai kelebihan dari segi kawalan bola selain mampu menjaringkan gol ketika statistik oleh ACLE musim ini membuktikan tonggak berusia 27 tahun ini telah mencetak 2 jaringan.
Aksi ACLE antara JDT vs Pohang Steelers akan berlangsung pada malam ini di Stadium Sultan Ibrahim tepat jam 8 malam.