Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mendedahkan beliau belum mahu berhenti menjaringkan gol.
Perkara itu dinyatakan calon pemain naturalisasi Harimau Malaya itu apabila ditanya tentang kesungguhannya memburu gol untuk Harimau Selatan.
Salah satu strategi Bergson ialah membayangkan dirinya menyumbat dua gol pada malam sebelum hari perlawanan. Ini dilihat sebahagian daripada taktik psikologi untuk membantunya tampil mantap di atas padang.
“Sejujurnya, sebelum tidur saya membayangkan esok saya akan menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol. Apabila saya melihat pada papan mata untuk memeriksa masa, ianya baru 40 saat dalam perlawanan apabila saya menjaringkan gol pertama.
“Oleh itu saya jangkakan kami mampu menjaringkan tiga atau empat gol,” katanya dalam satu video yang disiarkan di Johor Southern Tigers.
Selain membantu JDT meraih empat trofi pada musim lalu, Bergson turut menamatkan musim sebagai penjaring gol terbanyak Liga Super dengan 27 gol.
Beliau mengatasi cabaran rakan senegara dan penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes yang meraih 23 gol pada musim itu. Bergson juga mencipta sejarah menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super pada musim sama.