Peledak berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dilaporkan berada dalam radar kelab Divisyen 1 Brazil.
Tonggak berusia 34 tahun itu telah berada di Malaysia sejak tahun 2021 dan membantu kelab untuk mencapai pelbagai kejuaraan domestik sehingga kini.
Beliau baru sahaja muncul penjaring terbanyak Liga Super Malaysia 2024-25 dengan 32 gol selain memainkan watak penting pada kempen AFC Champions League Elite (ACLE).
Calon penyerang naturalisasi negara ini bagaimanapun dilaporkan berada dalam radar kelab terkemuka Brazil, Sports Club do Recife menerusi satu laporan oleh Reporter Antonio.
“Penyerang JDT, Bergson (34) berada di radar Recife. Kelab merah-hitam itu telah meneliti situasi pemain itu yang berada di Johor, Malaysia, sejak 2021 dan menjaringkan 152 gol dalam 137 perlawanan.
“Kontrak Bergson bersama kelab Malaysia itu adalah sehingga hujung tahun ini,” ujarnya di laman X.
Laporan ini dikatakan hadir daripada kenalan terdekat kelab yang sedang memantau rapat situasi Bergson bersama JDT.
“Saya telah berbual dengan beberapa individu yang terlibat dalam @sportrecife yang memaklumkan bahawa Bergson telah ditawarkan kepada kelab tersebut,” tambah laporan tersebut.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak kelab dan juga pemain mengenai pengesahan berhubung berita ini tatkala Bergson dilihat menjadi aset penting buat skuad Harimau Selatan.
Sports Club do Recife menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang kemenangan selepas 11 perlawanan Serie A.