Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva jauh meninggalkan bintang Barcelona, Raphinha dari segi penilaian pemain.
Ini selepas Sofascore menyiarkan senarai 8 pemain Brazil teratas yang memiliki penilaian 10 mata dalam perlawanan.
Bergson mendahului carta tersebut dengan meraih markah 10 sebanyak empat kali. Beliau jauh meninggalkan enam rakan senegara lain yang meraih 10 mata sebanyak dua kali.
Ini termasuk penjaring terbanyak Selangor FC musim ini, Chrigor Moraes. Selain beliau, tiga lain pemain berpangkalan di Asia turut tersenarai iaitu Roger Guedes, Valdivia dan Cryzan.
Raphinha berada di tempat kelapan dengan hanya meraih markah 10 dalam satu perlawanan.
Selepas senarai tersebut disiarkan di Instagram, ramai peminat Brazil teruja apabila melihat Bergson dan Moraes jauh di depan bekas bintang Leeds United itu.
Seorang penyokong bernama Luiz Fernando_sx7 tertanya-tanya di mana Bergson beraksi. Dia percaya bekas penyerang Fortaleza itu seorang pemain yang bagus.
“Di mana Bergson bermain? Siapa pasukan yang diwakilinya? Saya tak tahu tentangnya tetapi beliau kelihatan pemain yang bagus dalam liga di mana beliau beraksi,” katanya.
Seorang lagi bernama Joao Luismp pula memaklumkan Bergson beraksi di Malaysia. Dia melihat bekas penyerang Gremio itu kerap menjaringkan gol.
“Bergson bermain di Malaysia (bersama JDT). Setiap perlawanan, ada saja empat hingga enam gol,” ujarnya.
Bisa Bergson dijangka ditagih JDT menjelang aksi menentang Selangor FC pada Ahad.