Tatkala ramai pemain sedang bercuti dan berehat daripada aksi bola sepak, namun tidak bagi pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat. Jordi kini bersama skuad kebangsaan Indonesia dalam kem latihan menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijadualkan bermula 20 Disember depan.
Jordi yang baru sahaja mendapatkan kerakyatan Indonesia adalah antara nama besar yang turut serta berada dalam kem latihan pasukan Indonesia di Bali bersama-sama seorang lagi pemain yang kini beraksi di Liga Belgium iaitu Sandy Walsh.
Namun begitu, dalam ketekunan dan fokus Jordi bersama skuad kebangsaan Indonesia, beliau sempat diusik rakan sepasukannya di JDT, Bergson da Silva. Bergson mencadangkan kepada Jordi supaya mendapatkan rehat.

Usikan yang ditulis Bergson di laman instagram Jordi itu telah dibalas sendiri oleh Jordi dengan mengatakan bahawa tiada masa untuk berehat.

Komen dari Bergson mendapat reaksi kurang baik dari para penyokong Indonesia yang sememangnya sudah lama menantikan aksi dari Jordi Amat buat ‘Sang Garuda’.
Dalam pada itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail atau TMJ sempat merakamkan ucapan semoga berjaya kepada Jordi bersama pasukan kebangsaan Indonesia.

Indonesia akan memulakan kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan menentang Kemboja pada 23 Disember di Stadium Gelora Bung Karno. Pada edisi lalu, Indonesia menjadi naib juara selepas tewas kepada Thailand dengan agregat 6-2.