Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares memuji kualiti yang dimiliki oleh barisan pemain Sabah FC selepas membelasah pasukannya dengan keputusan 5-0.
Aksi yang berlangsung di Stadium Kapten Wayan l Dipta itu menyaksikan The Rhinos sukar digugat sungguhpun beraksi di tempat lawan.
Pengendali kelahiran Brazil itu bagaimanapun berpuas hati dan menghargai kudrat yang diberikan oleh para pemainnya untuk memberi tentangan sengit kepada lawan.
Beliau yang terpaksa menurunkan kesebelasan sedia ada kerana isu kecederaan mengakui segala percaturan awal tetap sukar mengekang anak buah Ong Kim Swee.
“Mereka mencipta lebih banyak peluang dari kami, mereka beraksi dengan lebih baik, Sabah juga sudah menjaringkan gol pada percubaan pertama yang dimiliki dalam perlawanan.”
“Bagaimanapun Sabah memiliki kualiti yang lebih baik. Mereka mampu menjaringkan gol dalam sepakan percuma sungguhpun kami sudah melakukan latihan khusu untuk mengekang perkara itu terjadi,” jelasnya kepada MakanBola.
Tavares juga memuji impak yang dibawa oleh barisan serangan Sabah FC terutamanya Darren Lok yang sudah meledak 4 gol dalam 2 perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan PSM Makassar tidak mampu merekodkan sebarang kemenangan dalam dua aksi di Piala AFC.