“Bila Bola Tak Nak Masuk, Ini Yang Terjadi” – Jurulatih Sepanyol
MakanBola
SEFutbol

Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente seakan terkedu apabila melihat deretan peluang yang dimiliki para pemainnya gagal disempurnakan ketika terikat seri menentang Cape Verde dalam aksi pertama Piala Dunia 2026:

Aksi tumpuan Piala Dunia 2026 pada awal pagi Selasa menyaksikan juara 2010, Sepanyol turun menentang Cape Verde yang melakukan penampilan sulung di kejohanan berprestij itu dengan status sebagai negara ‘underdog’ kali ini.

Walaupun ramai jangkakan perlawanan bakal memihak Sepanyol dengan mudah, namun skuad La Roja tampak cukup bergelut sepanjang 90 minit untuk mencari jalan mendapatkan jaringan, ditambah pula disiplin tinggi Cape Verde.

Perlawanan di Atlanta itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sekali gus meranapkan hasrat Sepanyol untuk mengutip 3 mata pertama meskipun 27 percubaan berjaya direkodkan oleh pasukan gergasi Eropah itu.

Statistik yang ‘berat sebelah’ kepada Sepanyol jelas menggambarkan aksi yang didominasi oleh La Roja, namun ketumpulan jentera serangan untuk menyudahkan peluang terhidang menguburkan misi besar pasukan meraih kemenangan.

Hal ini turut disuarakan oleh jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente yang tampak kecewa apabila deretan peluang yang dimiliki gagal diterjemah kepada jaringan meskipun kekebalan pasukan Cape Verde turut memainkan peranan.

Sungguhpun begitu, de la Fuente masih tetap optimis dengan perjuangan pasukan Sepanyol di Piala Dunia kali ini melihat kepada perjalanan yang jauh setelah berakhirnya perlawanan pertama peringkat kumpulan minggu ini.

“Apabila bola tidak mahu masuk (ke dalam gawang), inilah yang berlaku. Namun, Piala Dunia ini masih lagi panjang, ingat itu,” ungkap Luis de la Fuente menurut laporan wartawan terkenal, Fabrizio Romano.

Saingan kumpulan H bakal bersambung pada 22 Jun hadapan dengan Cape Verde bakal menentang juara dunia dua kali, Uruguay sementara Sepanyol turun bertemu wakil Asia, Arab Saudi di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, USA.