Pemain yang dikaitkan ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Brad Tapp sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab beliau, Central Coast Mariners.
Nama Brad Tapp sebelum ini menjadi bualan penyokong JDT selepas pemain tengah Central Coast Mariners ini dilaporkan akan menyarung jersi skuad Harimau Selatan bermula musim hadapan.
Khabar angin ini menjadi semakin kuat selepas Central Coast Mariners dalam sebuah kenyataan mengumumkan Brad Tapp bakal meninggalkan kelab sejurus kontraknya berakhir pada hujung musim.
“Central Coast Mariners hari ini mengesahkan bahawa Bradley Tapp akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini, selepas kontraknya tamat,” umum pihak kelab dalam satu kenyataan.
Satu lagi petanda jelas ialah apabila Brad Tapp memilih untuk berhijrah ke kelab luar negara sebagai destinasi baharu, bagi mengejar peluang menarik selepas 7 tahun bersama pasukan itu.
“Tapp meninggalkan kelab bagi mengejar peluang menarik di luar negara dan berangkat dengan ucapan terbaik daripada semua pihak di kelab selepas mengharungi tempoh 7 tahun yang cemerlang bersama Central Coast.”
Walaupun belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak JDT tentang khabar angin ini, namun sebuah hantaran dari pemerhati bola sepak Johor, Juan Budiman seakan memberi bayangan jelas perpindahan ini.
Sebagai rekod, Brad Tapp yang mampu beraksi di posisi tengah dan pertahanan telah melakukan 60 penampilan bersama Central Coast Mariners dengan satu gol dan 3 bantuan jaringan dicatatkan.