Pemenang Piala AFC (kini Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2)) musim 2023/24 dilaporkan bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.
AusFootHQ melaporkan tonggak utama Central Coast Mariners (CCM), Brad Tapp akan menyertai Harimau Selatan dengan kontrak selama dua setengah tahun.
Pemain berusia 25 tahun itu mampu beraksi di beberapa posisi. Selain posisi bek tengah, Tapp juga mampu beraksi sebagai pemain tengah atau pemain tengah bertahan jika diperlukan.
Beliau antara 16 pemain CCM yang memiliki baki kontrak sehingga 30 Jun. Ini disebabkan pengelola liga Australia, Liga Profesional Australia (APL) masih belum dapat mencari pemilik baharu kelab berkenaan.
Seandainya situasi ini berterusan, 16 pemain termasuk Tapp bakal meninggalkan kelab sebagai ejen bebas pada 1 Julai.
Beliau merekodkan 56 penampilan, satu gol dan tiga bantuan gol bersama CCM. Sekiranya perpindahan ini menjadi realiti, Tapp dilihat sebagai pengganti jangka panjang Natxo Insa dan Shane Lowry.
Selain bergelar juara Piala AFC, beliau juga pernah membantu CCM bergelar juara A-League musim sama.
Jika perpindahan ini direalisasikan, Tapp bakal berentap dengan bekas rakan sepasukan beliau di CCM, Dylan Wenzel-Halls. Wenzel-Halls kini menyarung jersi pasukan utara tanah air, Penang FC.