Pemain import Borneo FC, Cristophe Nduwarugira hanya memikirkan untuk mendapatkan tiga mata bagi pasukannya dalam aksi Shopee Cup berdepan Kuala Lumpur City (KL City) yang dijadualkan berlangsung pada Khamis.
Bintang antarabangsa Burundi itu turut menyatakan bahawa beliau dan rakan sepasukannya tidak memberi fokus kepada pemain-pemain KL City sebaliknya hanya memfokuskan kepada prestasi pasukan sendiri.
“Kami hanya memfokuskan kepada diri sendiri dan pasukan. Saya tidak mahu tahu mengenai pemain-pemain daripada pasukan lain kerana kami tahu dapat melakukan sesuatu.
“Pada perlawanan pertama Shopee Cup, kami mendapatkan tiga mata. Kami akan berusaha untuk mendapatkan tiga mata berdepan pasukan ini (KL City). Kami hanya fokus untuk dapatkan tiga mata sahaja,” jelas Nduwarugira dalam sesi sidang media pra-perlawanan.
Borneo hadir ke ibu kota Kuala Lumpur dengan rekod cemerlang dalam saingan Liga 1 Indonesia selepas mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dengan 4 kemenangan dan dua keputusan seri dalam 6 perlawanan yang telah dilalui.
Berbeza dengan apa yang dilalui KL City yang baru sahaja menerima kekalahan dalam saingan Liga Super di tangan Perak baru-baru ini.