Hasrat Perak FC untuk meraih kemenangan pertama di gelanggang sendiri bagi saingan Liga Super musim ini menjadi kenyataan selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Sabtu.
Perak yang dibimbing Yusri Che Lah meletakkan barisan terkuat dengan Clayton Da Silva menjadi penyerang tunggal di bahagian hadapan manakala KL City dilihat sedikit tempang selepas tidak dapat menurunkan beberapa tonggak seperti Haqimi Azim dan Paulo Josue.
Perlawanan dimulakan dengan Perak berjaya menguasai melalui variasi hantaran yang tepat sekali gus memaksa KL City lebih bertahan.
Luka Milunovic hampir meletakkan Perak di hadapan seawal minit ke-3 namun rembatannya ditangkap kemas penjaga gol KL City, Azri Ghani.
Azri Ghani sekali lagi mempamerkan ketangkasan selepas berjaya menyelamatkan sepakan percuma berkualiti daripada Tommy Mawat pada minit ke-11.
KL City mula mengatur pergerakan dengan lebih kemas. Peluang terbaik KL City hadir pada minit ke-35 melalui percubaan Brendan Gan namun penjaga gol Perak, Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan keadaan biarpun berdepan situasi satu lawan satu.
Perak meneruskan penguasaan bola namun tiada jaringan berjaya dihasilkan dan menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Perak tidak menunggu lama untuk menyerang ke kubu KL City yang dikawal Giancarlo Gallifuoco.
Hasil serangan bertali arus, Perak akhirnya berjaya dihadapan melalui penyudah Luka Milunovic pada minit ke-62 yang menyambar hantaran Azfar Fikri. Perak di hadapan 1-0.
Tersentak dengan jaringan tersebut, KL City menggandakan asakan ke benteng Perak untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Beberapa gerak serangan KL City juga berjaya dipatahkan dengan baik oleh Haziq Nadzli di gawang Perak.
Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat Perak di laman sendiri musim ini.