Advertisement
Bintang Croatia Sanggup Terima Gaji RM5 Demi Kelab
Eropah
MakanBola
HNK Hajduk Split

Penyerang veteran Croatia, Nikola Kalinic mencipta sensasi dalam kalangan pengguna media sosial semalam.

Ini selepas wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan penyerang berusia 36 tahun itu beraksi dengan kelab barunya, Hajduk Split dengan gaji €1 (RM5).

Kesediaan beliau berbuat demikian kerana Hajduk merupakan kelab pertama dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Dengan The Whites berada pada kedudukan terbaik memburu Liga Bola Sepak Croatia (HNL), pengurusan kelab percaya Kalinic mampu menambah ketajaman di bahagian serangan.

“Nikola Kalinic telah menyertai semula pasukan utama Hajduk dan bakal memulakan persiapan untuk kesinambungan musim bermula dari hari ini.

“Penyerang berpengalaman itu kembali ke Poljund selepas berehat selama beberapa bulan dan hari ini, beliau secara rasmi menandatangani kontrak bersama kelab sehingga akhir musim ini,” ujar pengurusan kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik pengumuman ini diketahui pengguna media sosial, ramai terkejut melihat kesanggupan beliau menerima gaji yang dinyatakan.

Kalinic memulakan kariernya bersama The Whites pada 2005-2006. Setelah itu, beliau berkelana ke beberapa liga utama Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga dan Serie A.

Antara kelab yang pernah diwakili Kalinic ialah Blackburn Rovers, A.C. Milan, Atletico Madrid, AS Roma dan Fiorentina.

Selepas berkelana di luar negara selama 13 tahun, penyerang Croatia itu kemudiannya kembali ke Hajduk pada 2022 sebelum meninggalkan kelab sebagai ejen bebas pada akhir musim 2022-2023.

Kalinic menggunakan tempoh tersebut untuk berehat sebelum memilih beraksi untuk The Whites buat kali ketiga.

Sepanjang kariernya, beliau telah merekodkan 491 penampilan, 162 gol dan 50 bantuan gol. Kalinic pernah menjulang Croatia Cup dan Piala Super UEFA.