Bintang Everton Nafi Miliki Darah Warisan Malaysia
MakanBola
Everton FC

Jeneral tengah Everton, Kiernan Dewsbury-Hall menafikan beliau memiliki darah warisan Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman mendakwa graduan akademi Leicester City itu memiliki darah warisan Malaysia. Sejak itu, dakwaan berkenaan berlegar dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia selama beberapa tahun.

Ini kerana jika dakwaan itu benar, Dewsbury-Hall boleh saja menjadi aset berharga buat skuad Harimau Malaya di bahagian tengah.

Apabila ditanya tentang dakwaan tersebut oleh koresponden Stadium Astro, Adam Carruthers, anak jati Nottingham, England itu dengan tenang menafikan beliau memiliki darah warisan Malaysia.

“Setahu saya, saya tidak memiliki darah warisan Malaysia. Saya mungkin perlu buat semakan maklumat nenek moyang tetapi mohon maaf jika mengecewakan mana-mana peminat Malaysia yang menyangka masih ada harapan tapi saya tidak fikir begitu,” katanya.

Pada masa sama, Dewsbury-Hall tidak menolak untuk melawat Malaysia pada masa akan datang. Beliau turut menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang indah.

Buat masa ini, Dewsbury-Hall belum merekodkan sebarang penampilan antarabangsa untuk England. Meskipun layak mewakili Ireland menerusi status darah warisan, pemain tengah berusia 27 tahun itu menolak untuk berbuat demikian.

Selepas menyertai Everton dari Chelsea pada musim 2025/26, Dewsbury-Hall merekodkan 32 penampilan, lapan gol dan enam bantuan gol.