Selepas Mahmoud Al-Mardi, Yazan Al-Arab, Fadi Awad dan Noor Al-Rawabdeh, seorang lagi pemain Jordan berpotensi berkelana di Liga Malaysia (Liga M).
Mengikut ciapan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, pemain tengah The Chivalrous Ones, Rajaei Ayed berada dalam pemerhatian sebuah kelab Liga Super.
Nama beliau pasti disedari ramai penyokong Harimau Malaya. Ini kerana Rajaei tampil sebagai pemain gantian dalam aksi pertama Kumpulan E membabitkan Malaysia dan Jordan pada awal pagi 16 Januari lalu.
Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia tewas 4-0 di tangan pasukan Asia Barat itu. Rajaei masuk menggantikan Nizar Mahmoud Al-Rashdan dan turut menggalas peranan sebagai kapten pada minit ke-67.
Pemain berusia 30 tahun itu mampu beraksi sama ada sebagai pemain tengah mahupun sebagai pemain tengah bertahan. Ketika ini, Rajaei beraksi untuk kelab Jordan, Al-Hussein SC.
Sekiranya Rajaei benar-benar berpindah ke Liga M, ini bukan kali pertama beliau beraksi di luar Jordan. Sebelum ini, beliau pernah beraksi untuk kelab Thai League 1, Ratchaburi.
Rajaei mencipta 16 penampilan bersama kelab itu dan merekodkan satu bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Sejak diberi peluang membuat penampilan pertama bersama Jordan pada 2014, beliau telah merekodkan 31 penampilan.