Bintang Muda Arsenal Pecah Rekod EPL
MakanBola
Premier League

Bintang muda Arsenal, Max Dowman mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pemain termuda yang meledak gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 15 Mac 2026.

Ini kerana beliau menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam aksi EPL pada usia 16 tahun 73 hari ketika menentang Everton di Emirates sebentar tadi.

Ketika ini, Max Dowman turut memegang rekod sebagai pemain kedua termuda yang melakukan penampilan sulung dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL). Beliau mencatat sejarah tersebut pada usia 15 tahun 235 hari ketika diturunkan dalam aksi menentang Leeds United.

Namun, Dowman masih berada di belakang rakan sepasukannya, Ethan Nwaneri, yang kekal sebagai pemain termuda membuat debut dalam EPL. Nwaneri mencipta rekod itu pada 28 September 2022 ketika berusia 15 tahun 181 hari.

Sebelum ini, beliau mencatatkan rekod sebagai pemain termuda yang membuat penampilan pertama dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ketika menentang Slavia Prague pada 4 November lalu, pada usia 15 tahun 308 hari.

Aksi antara Arsenal dan Everton menyaksikan The Gunners berjaya menundukkan The Toffees dengan keputusan 2-0.

Gol kemenangan Arsenal F.C. dijaringkan oleh dua pemain gantian, Viktor Gyökeres dan Max Dowman, yang dimasukkan pada babak kedua menggantikan Kai Havertz serta Martin Zubimendi, sekali gus memberikan impak positif apabila berjaya meledak gol kemenangan.

Kemenangan tersebut memastikan Arsenal terus kekal di puncak saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/26 dengan kelebihan 10 mata. Namun begitu, mereka telah bermain dua perlawanan lebih banyak berbanding pasukan di tangga kedua, Manchester City.