Bintang pinjaman Selangor FC, Picha Autra terpaksa menamatkan musim lebih awal bersama Bangkok United.
Ini kerana bekas kapten Muangthong United itu sah mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL). Perkara ini dikongsikan Bangkok United menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Kemas kini tentang kecederaan Picha Autra selepas beliau dikeluarkan pada minit ke-54 semasa perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) antara True Bangkok United dan Tampines Rovers FC.
“Selepas membuat imbasan MRI di Hospital Samitivej Sukhumvit, Picha Autra disahkan mengalami koyakan Gred 2 pada bahagian ligamen medial kolateral (MCL) pada bahagian lututnya.
“Pasukan perubatan menasihatkan bahawa beliau perlu menjalani tempoh rawatan dan pemulihan sebelum beliau boleh kembali beraksi,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Berita ini sekaligus memusnahkan impian Picha untuk memburu tempat dalam skuad kebangsaan Thailand. Ini termasuk peluang beraksi dalam saingan ASEAN Hyundai Cup.
Sejak menyertai Bangkok United secara pinjaman dari Selangor, Picha merekodkan tujuh penampilan, satu gol dan empat bantuan gol.
Bangkok United turut mendoakan beliau cepat sembuh dan sentiasa menyokong proses pemulihan anak jati Chiang Mai itu.