Dengan tetingkap perpindahan kedua akan dibuka beberapa hari saja lagi, Terengganu FC sudah mula memburu pemain import baru. Antara awang import yang menjadi idaman skuad Peteh ialah Nurillo Tukhtasinov.
Perkara ini disahkan sendiri oleh jurulatih skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner. Steinbruckner melihat awang import dari Uzbekistan itu mampu menambah kreativiti sebagai pemain tengah menyerang.
“Kita sedang melihat beberapa orang pemain. Pemain Uzbek, Nurillo (Tukhtasinov) mungkin akan datang. Pemain tengah Uzbek ini mempunyai ciri yang kita cari-cari.
“Kita juga sedang melihat beberapa pemain tempatan lain yang beraksi sebagai pemain tengah dan penyerang. Dan kita akan lihat tidak lama lagi apa yang kita boleh lakukan dan apa yang tersedia untuk tetingkap perpindahan ini,” katanya dalam temubual bersama Astro Arena.
Tukhtasinov, 26, bukan saja boleh beroperasi sebagai pemain tengah menyerang. Malah, beliau juga boleh beraksi di sayap kanan atau sebagai penyerang sokongan.
Pengesahan yang dibuat Steinbruckner turut memperlihatkan kedudukan beberapa pemain import Terengganu FC dalam bahaya. Ini kerana ketika ini, skuad Peteh mempunyai sembilan pemain import dengan seorang daripadanya perlu digugurkan bagi memberi laluan kepada Tukhtasinov.