Selepas beraksi di Lembah Klang, selatan dan utara tanah air, Ifedayo Olusegun dilaporkan akan berkelana ke Kelantan.
Ini selepas wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan penyerang berusia 34 tahun itu berada dalam radar pasukan Kelantan.
Meskipun begitu, Avineshwaran tidak menyatakan sama ada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) atau Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yang mahu mendapatkan Ifedayo.
Selain bekas penyerang Selangor FC itu, Kelantan juga dilaporkan berminat mendapatkan rakan sepasukan beliau di PDRM FC, Aremu Timothy.
“Kelantan difahamkan berminat mendapatkan dua pemain Nigeria yang beraksi di Liga Super musim lepas.
“Mereka ialah penyerang, Ifedayo Olusegun dan pemain sayap, Aremu Timothy. Kedua-duanya bermain untuk PDRM musim lepas.
“(Perpindahan) Dayo bakal menjadi tumpuan, terima kasih kepada naluri peledak berbisa yang dimiliki beliau,” katanya di X.
Sebelum ini, jurulatih Kelantan RW, Irfan Bakti Abu Salim memaklumkan pasukan itu mengintai tonggak import Afrika dan Eropah bagi menghadapi musim 2025/26.
Ifedayo telah merekodkan 25 penampilan dan 12 gol dalam semua kejohanan buat PDRM untuk musim 2024/25.