Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim mahu membawa pasukan itu layak ke Liga Super musim depan.
Hasrat itu dizahirkan jurulatih berusia 74 tahun itu dalam satu temubual bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi baru-baru ini.
Hasrat Irfan bersandarkan rekod beliau membawa pasukan-pasukan dari liga bawahan layak ke saingan Liga Super.
“”Saya pernah bawa naik Felda United. Ketika Terengganu turun divisyen pun, saya yang bawa naik. Saya juga pernah menaikkan kelab Telekom Melaka dan MPPJ. Selangor pun jatuh ketika itu.
“Bukanlah saya hendak banggakan diri, cukuplah di sini dan KRW akan kembali ke Liga Super. Ia tidak mustahil menerusi kerjasama yang tinggi daripada pihak pengurusan,” katanya.
Irfan turut mendedahkan pasukan Pantai Timur itu kini dalam proses mendapatkan dua orang tonggak import bagi menghadapi kempen Liga A1 Semi-Pro.
“Satu (tonggak import) itu dari Eropah, satu (lagi) itu (kita) tengah mencari. Kami nak ambil seorang penyerang, itu sudah tentu,” tambahnya.
Antara pemain yang dilaporkan bakal menyertai Kelantan RW ialah Faiz Nasir, Muhaimin Izuddin dan Yusri Yuhasmadi.
Kelantan RW turut mengesahkan sudah mengatur empat aksi persahabatan di Lembah Klang pada Julai ini.