Dalam sebuah rancangan Bola Itu Life, pundit bola sepak iaitu Keesh dan Faiz telah membincangkan tentang mencipta pemain sempurna versi Malaysia dan analisis mereka tentang pemain berkaki kiri telah mencuri perhatian ramai.
Dalam perbincangan tersebut, Faiz telah menilai Safawi Rasid sebagai pemain tempatan yang digeruni dengan kemahiran kaki kiri beliau manakala Keesh pula berpendapat pemain naturalisasi Malaysia, Paulo Josue turut hebat dalam menggunakan kaki kiri.
Nama 2 pemain tersebut tidak dinafikan amat berbahaya apabila dihadapan gawang gol dan sentiasa menjadi sasaran pertahanan lawan untuk man marking.
Paulo Josue telah berjaya menjaringkan 8 gol dan mencipta 8 bantuan jaringan dalam 23 penampilan beliau bagi musim ini.
Malah Paulo Josue menjadi tonggak penting KL City dalam saingan Piala AFC musim lalu apabila menyumbang 5 gol dan 1 bantuan jaringan dalam 7 perlawanan.
Safawi Rasid mungkin mengalami penurunan prestasi ketika ini namun dalam beberapa musim terdahulu, beliau sentiasa menghadirkan ancaman dari bahagian sayap kanan pasukan.
Musim terbaik Safawi adalah antara tahun 2019-2021 apabila beliau sentiasa mencetak nama selaku penjaring pasukan. Safawi berjaya menjaringkan 7 gol dalam 7 perlawanan pada musim 2020.
Malah jaringan kaki kiri Safawi sewaktu menentang Indonesia pada tahun 2019 di stadium Bukit Jalil juga menjadi momen yang tidak dapat dilupakan buat penyokong Malaysia.
Nama kedua-dua pemain ini masih lagi hangat dalam arena bola sepak tempatan dan keupayaan kaki kiri mereka sentiasa menjadi mimpi ngeri pasukan lawan.