Bojan Hodak Anggap Imigresen Lawan Sukar KL City
Piala FA
MakanBola
Azri / MakanBola
Advertisements

Menjelang aksi pusingan kedua Piala FA KL City menentang Imigresen esok, jurulatih City Boys, Bojan Hodak menyifatkan pasukan Liga M3 itu sebagai lawan ‘sukar’. Ini kerana tidak seperti pasukan-pasukan Liga Super lain, Bojan perlu meningkatkan motivasi anak-anak buahnya bila turun menentang pasukan yang berada di divisyen yang lebih rendah daripada mereka.

Walaupun berstatus Liga M3, sesetengah pemain mereka mempunyai pengalaman Liga Super dan Liga Perdana seperti Hafiz Kamal, Ferris Danial Mat Nasir, Nasriq Baharom dan Abdul Halim Zainal. Malah, mereka turut mendapat bimbingan bekas jurulatih Negeri Sembilan dan Terengganu, Mat Zan Mat Aris.

Advertisements

Justeru, Bojan mahu anak-anak buahnya tidak memandang rendah cabaran pasukan Liga M3 itu. Ini kerana jika itu berlaku, maka KL City akan mengulangi pencapaian terkandas di pusingan kedua Piala FA pada tahun lepas.

“Ini merupakan antara perlawanan yang sukar kerana saya sentiasa katakan bila kita bertemu dengan pasukan terbaik seperti Selangor dan JDT (Johor Darul Ta’zim), bagi saya itu kerja senang. Sebabnya ialah saya tak perlu beri motivasi, tak perlu beri galakan kepada para pemain.

Advertisements

“Tetapi bila anda bermain dengan pasukan yang berada di divisyen rendah, motivasi perkara paling sukar yang perlu dilakukan. Jadi, itu sebab bila kita lihat perlawanan Piala FA di seluruh dunia, ia menjanjikan banyak kejutan.

“Ini juga peluang untuk pemain-pemain simpanan untuk beraksi dengan sesetengah daripada mereka perlu membuktikan kemampuan mereka. Mereka perlu tunjuk kepada saya bahawa mereka layak beraksi dalam kesebelasan utama,” katanya kepada Astro Arena.

Advertisements

News Comments Account