Kelibat Bojan Hodak bakal mengubati kerinduan peminat bola sepak Kelantan tidak lama lagi.
Bojan Hodak diumumkan sebagai salah seorang watak tumpuan yang bakal membuat kemunculan pada aksi persahabatan antara bekas pemain Kelantan yang akan turun menentang bekas pemain Thailand pada Jumaat ini di Kota Bharu.
Aksi anjuran Regles tersebut bakal menyaksikan beberapa pemain yang pernah mengharumkan nama bola sepak Kelantan seperti Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad bakal turun beraksi.
Dengan kehadiran Bojan Hodak dan beberapa pemain ketika era treble 2012 pada malam tersebut, pastinya bakal menyuntik memori manis para peminat The Red Warrior yang pernah menjadi kuasa bola sepak negara suatu masa dahulu.
“Kami terbangkan khas lagenda (Bojan Hodak),” umum Regles di laman Facebook pada Rabu.
“Jom datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan Ex Kelantan vs Ex Thailand 3 hari sahaja lagi.”
“Coach Bojan Hodak kata rindu mahu menyaksikan laungan lautan merah. Jom rapat pagar kali ni.”
Nama Bojan Hodak dan peminat negeri Cik Siti Wan Kembang itu memang tidak boleh dipisahkan selepas pengendali kelahiran Croatia tersebut pernah membawa Kelantan muncul juara Liga Super, Piala FA serta Piala Malaysia pada musim 2012.
Selain pasukan Kelantan, Bojan Hodak turut pernah melatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Malaysia B-19 dan KL City sebelum melebarkan sayap ke Indonesia untuk bersama Persib Bandung sejak musim 2022-2023 lalu.
Jodoh Bojan Hodak selaku ketua jurulatih Persib Bandung bagaimanapun telah pun berakhir baru-baru ini setelah beliau mengambil keputusan bagi melepaskan jawatan namun masih bergelar Penasihat Teknikal Kumpulan Pemegang Saham.