Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak akui para pemainnya bermain dengan sangat teruk dalam kekalahan besar 1-6 kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Jurulatih dari Croatia itu melihat para pemain KL City seperti sedang menjalani latihan pada separuh masa pertama yang memperlihatkan penguasaan penuh JDT dan lebih malang lagi, mereka dibolosi empat gol pada 45 minit pertama tersebut.
“Sudah tentu kalau kita kehilangan seorang pemain, kita boleh isi. Hari ini (semalam), kami kehilangan lima orang pemain. Pemain yang turun pada separuh masa pertama dilihat seperti berlatih. Kita tak mengasari mereka (pemain JDT), kita tak menekan mereka dan kita benarkan mereka bermain.
“Saya sangat yakin mereka seperti dalam latihan. Selepas ketinggalan 4-0 di separuh masa pertama, separuh masa kedua kami beraksi dengan lebih baik. Tetapi dua gol (JDT) di minit-minit akhir terhasil ketika para pemain sudah letih,” jelas Bojan kepada Astro Arena.
Pada aksi semalam, penyerang JDT, Diogo Luis Santo menjadi wira buat Harimau Selatan selepas berjaya meledak hatrik manakala Arif Aiman, Safiq Rahim dan Akhyar Rashid masing-masing meledak satu gol untuk memberikan kemenangan besar 6-1 menewaskan KL City. Gol saguhati KL City dijaringkan oleh Matko Zirdum.
Kedua-dua pasukan ini dijangka akan bertemu sekali lagi pada 22 Julai depan untuk aksi final Piala FA. Perlawanan akhir tersebut akan dilangsungkan di venue yang sama iaitu bertempat di Stadium Sultan Ibrahim.