Pendahulu Liga 1 Indonesia, Borneo FC menceriakan penyokong mereka di Stadium Segiri Samarinda dengan mengalahkan kelab Liga Super, Perak FC 3-2.
Perlawanan persahabatan yang berlangsung hari ini merupakan sebahagian daripada pemeteraian kerjasama kedua-dua pasukan yang dibuat pada akhir Oktober lalu.
Biarpun turun tanpa kelibat Wan Zack Haikal dan Sunday Afolabi, The Bos Gaurus menurunkan barisan terkuat mereka menentang Pesut Etam hari ini.
Antara pemain yang berada dalam kesebelasan utama ialah Shivan Pillay, Jesper Nyholm, Luka Milunovic, Seo Seon-ung dan kapten Luciano Guaycochea.
Babak pertama menyaksikan tuan rumah menguasai perlawanan. Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-30 untuk membuka jaringan menerusi Stefano Lilipaly.
Pemain sayap Terens Puhiri memastikan Borneo selesa di hadapan dengan dua gol pada minit ke-32 dan 45. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Yusri Che Lah mula mengatur kebangkitan. Hasilnya, mereka merapatkan jurang menerusi Milunovic pada minit ke-46.
Pesut Etam makin cemas apabila Alif Zikri Zaini Anuar menyumbat gol kedua skuad Seladang pada minit ke-57.
Borneo terus kental mempertahankan kelebihan 3-2 mereka sehingga tamat perlawanan. Walaupun tewas, persembahan kedua-dua pasukan tidak menghampakan penyokong yang hadir.
Kedua-dua pasukan kini bakal kembali fokus kepada perjalanan liga masing-masing. Borneo bakal melayan kunjungan Persis Solo pada 27 November ini.
Manakala Perak FC pula bertandang ke Stadium MBPJ untuk menentang Selangor FC pada 25 November ini.