Pemilik Buriram United, Newin Chidchob menzahirkan penghargaan buat DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, dan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup 2025-2026 semalam.
Menurut beliau, suasana yang dicipta para penyokong Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim memberikan suatu pengalaman luar biasa buat seluruh pasukan Buriram United.
Dalam masa sama, Newin menegaskan bahawa Buriram United dan JDT perlu terus bergerak seiring bagi mengangkat martabat bola sepak ASEAN agar mampu bersaing dengan kelab terbaik Asia di pentas AFC Champions League Elite.
Beliau turut berharap kelab-kelab dari rantau ASEAN tidak lagi dipandang rendah, selain mahu lebih ramai pemain berkualiti dari seluruh dunia berhijrah ke liga-liga Asia Tenggara bagi meningkatkan standard bola sepak di rantau ini.
Sebagai Presiden Buriram United, Newin turut menjemput Tunku Ismail, pasukan dan penyokong setia JDT untuk hadir ke aksi timbal balik separuh akhir di Thailand minggu hadapan.
“Saya dengan penuh rasa hormat menjemput Tunku Ismail, pasukan JDT dan seluruh penyokong Harimau Selatan untuk hadir ke aksi timbal balik di Chang Arena minggu hadapan.”
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan oleh wartawan terkenal, Ta Lao.
Beliau berharap setiap tetamu dari Johor akan menerima layanan terbaik sepanjang berada di Buriram, selain mahu hubungan antara kedua-dua kelab terus kukuh demi pembangunan bola sepak ASEAN di pentas antarabangsa.