Brazil Lepasi Tentangan Sengit Croatia
MakanBola
CBF Futebol

Brazil kembali mendapat rentak kemenangan apabila menewaskan Croatia dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Selepas tumbang 2-1 di tangan Perancis baru-baru ini, juara dunia lima kali itu tidak mahu kecewa lagi apabila bertemu anak buah Zlatko Dalic.

Pemain perancang veteran, Luka Modric mengemudi jentera tengah Croatia. Dua tonggak Manchester United, Casemiro dan Matheus Cunha menjadi pilihan Carlo Ancelotti di bahagian tengah.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol di Stadium Camping World.

Brazil berusaha merobek gawang Croatia menerusi Luiz Henrique, Joao Pedro dan bintang Real Madrid, Vinicius Jr.

Ancaman trio tersebut memaksa penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic bekerja keras mempertahankan gawang pasukan itu.

Gawang Croatia akhirnya bocor pada minit akhir babak pertama menerusi Danilo. Gol tersebut memastikan Brazil mendahului 1-0 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Dalic membuat beberapa pertukaran untuk memperkemaskan kembali rentak Croatia.

Antara pemain yang dibawa masuk ialah Nikola Moro, Petar Musa, Mario Pasalic dan Marin Pongrasic.

Croatia akhirnya meraih gol penyamaan menerusi Lovro Majer pada minit ke-84. Tatkala Croatia memburu gol kedua, Brazil kembali di hadapan menerusi Igor Thiago pada minit ke-89.

Bintang Arsenal, Gabriel Martinelli memastikan kemenangan milik Brazil dengan gol ketiga pada minit ke-93. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini sedikit sebanyak meredakan tekanan kepada Ancelotti selepas tewas 2-1 kepada Perancis. Selain kekalahan kepada Perancis, beliau juga dikecam kerana tidak menyenaraikan Neymar.

Sofascore memilih Danilo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2.