Advertisement
Brendan Gan & Lionel Messi Rekod Bantuan Gol Tertinggi Di Dunia
Dunia
MakanBola
Kuala Lumpur City / Inter Miami CF

Pemain tengah Kuala Lumpur City FC dan Harimau Malaya, Brendan Gan telah disenaraikan sebaris bintang ternama dunia dan juga pemain Inter Miami CF, Lionel Messi.

Brendan yang bakal menginjak ke usia 36 tahun pada Jun nanti telah disenaraikan sebagai penyumbang bantuan gol tertinggi dalam satu perlawanan oleh laman statistik terkemuka dunia, Sofascore.

Menurut laman statistik tersebut, Brendan telah merekodkan lima bantuan gol ketika menyarung jersi Selangor FC dalam perlawanan Liga Super Malaysia menentang Kelantan FC tahun lalu.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan besar 11-2 buat Selangor yang mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua keseluruhan.

Rekod lima bantuan jaringan dalam satu perlawanan yang dihasilkan Brendan itu menyamai beberapa ikon bola sepak hebat dunia seperti Lionel Messi yang turut merekodkan lima bantuan gol.

Nama-nama besar yang turut tersenarai dalam rekod bantuan gol terbanyak dalam satu perlawanan ialah Neymar (4 bantuan gol), Paul Pogba (4 bantuan gol), Harry Kane (4 bantuan gol) dan Kevin De Bruyne juga dengan empat bantuan gol.

Rekod yang dicipta oleh Brendan Gan itu telah dikongsikan oleh laman sosial bola sepak terkemuka Argentina, All About Argentina di laman X.

Brendan Gan kini berada di pasukan baharu iaitu KL City FC selepas meninggalkan Selangor pada penghujung musim lalu.

Walaupun semakin berusia, namun persembahan Brendan Gan jarang sekali menghampakan penyokong tidak kira sama ada beraksi di saingan liga mahupun pasukan kebangsaan.