Advertisements
Brendan Gan Tarik Tali Tentang Kelab Barunya
Harimau Malaya
MakanBola
Azri Haziq / MakanBola

Pemain tengah negara, Brendan Gan masih bermain tarik tali tentang kelab barunya setelah meninggalkan Selangor pada awal Februari lalu.

Brendan Gan mahu fokus terhadap skuad kebangsaan terlebih dahulu setelah meraih kepercayaan ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon untuk menyarung jersi Harimau Malaya berdepan cabaran Oman.

Jodoh Brendan Gan bersama Selangor hanya berkekalan selama 4 tahun dan pencapaian terbaik beliau di Selangor adalah membantu kelab menamatkan saingan liga ditangga kedua pada musim lalu untuk meraih slot ke pentas Asia.

Pemain yang bakal berusia 36 tahun pada Jun kelak itu masih berstatus ejen bebas dan belum menyertai mana-mana pasukan buat masa sekarang.

“Ketika ini saya masih belum memutuskan tentang kelab yang saya akan sertai. Saya mahu fokus terhadap pasukan kebangsaan terlebih dahulu.”

“Saya harap semuanya berjalan lancar dan saya boleh membuat keputusan tentang masa depan saya. Buat masa ini saya hanya mahu buat yang terbaik untuk Malaysia.”

“Ada beberapa spekulasi dan khabar angin tentang perpindahan saya tapi buat masa sekarang saya belum buat keputusan akhir.” ujar Brendan Gan.

Brendan Gan telah beraksi di liga Malaysia selama hampir 10 tahun dan turut pernah memperkuatkan beberapa pasukan seperti Sabah, Kelantan, Perak dan juga Selangor.

Pemain tengah itu turut melakukan lebih 30 penampilan bersama Malaysia dan aksi bertenaga beliau sewaktu Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 dalam kejohanan Piala Asia tempoh hari meraih pujian penyokong negara.