Advertisement
Bruno Fernandes Kekal Berbakti Buat Ten Hag Lebih Lama
EPL
MakanBola
Manchester United

Selepas membawa masuk Mathijs de Ligt dan Noussair Mazraoui, Manchester United pantas memeterai kontrak baru dengan kapten, Bruno Fernandes.

Ini selepas The Red Devils mengumumkan pemain tengah menyerang berusia 29 tahun itu telah memeterai kontrak baru sehingga tahun 2027. Kelab juga memiliki pilihan untuk mengaktifkan klausa lanjutan kontrak selama setahun buat Fernandes.

“Bruno Fernandes telah menandatangani kontrak baru yang akan melanjutkan tempoh beliau bersama Manchester United sehingga 30 Jun 2027, dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun lagi,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sejak menyertai United dari Sporting Lisbon dengan yuran perpindahan £47 juta (RM267 juta) pada Januari 2020, Fernandes banyak memberi sumbangan bermakna kepada pasukan itu.

Beliau bukan saja menyumbat 79 gol dan mencipta 67 bantuan gol dalam 234 penampilan di Old Trafford. Malah, rekod ini juga menjadikan Fernandes pemain paling banyak mencipta peluang menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tempoh tersebut turut menyaksikan beliau meraih trofi Carabao Cup (2023) dan The Emirates FA Cup (2024) bersama United.

Fernandes mengakui merasa gembira kerana dapat kekal di Old Trafford untuk tempoh beberapa tahun lagi. Malah, beliau melihat ini peluang buat dirinya untuk terus menyumbang kepada United termasuk memburu trofi di bawah pengurus, Erik ten Hag.

“Saya telah mempunyai begitu banyak detik istimewa di sini seperti mendengar nama saya dinyanyikan dari Stretford End, menjaringkan hatrik menentang Leeds, memimpin pasukan di Old Trafford pada malam Eropah dan mengangkat trofi di Wembley.

“Tetapi saya tidak akan menandatangani kontrak ini jika saya tidak percaya bahawa detik terbaik saya menyarung jersi United masih akan menyusul.

“Hasil perbincangan saya dengan kepimpinan bola sepak dan pengurus, jelas bagaimana semua orang bertekad untuk berjuang untuk trofi utama pada tahun-tahun akan datang. Saya dapat melihat betapa positifnya masa depan (kelab) dan saya mahu memimpin pasukan ini ke hadapan,” katanya.

Pengarah sukan The Red Devils, Dan Ashworth melihat keputusan memeterai kontrak baru Fernandes penting bukan saja kerana statusnya sebagai tonggak pasukan.

Malah, kepimpinannya juga ditagih kerana menetapkan piawaian yang perlu dicapai sebagai pemain United terutama bila beraksi dalam kejohanan kompetitif.

“Bruno telah beraksi pada tahap yang tinggi dengan ketekalan yang luar biasa sejak dia tiba di Manchester United. Beliau adalah pemimpin yang cemerlang, mendorong piawaian harian dan memberi inspirasi kepada pemain dan kakitangan untuk mencapai tahap tertinggi mereka setiap hari.

“Dedikasi Bruno kepada kelab melambangkan apa yang diperlukan untuk menjadi pemain United. Beliau tetap penting untuk semua yang kami mahu capai di sini, dan kami berharap dapat bekerjasama untuk menyampaikan kejayaan yang dituntut oleh kelab ini,” ujarnya.

Ashworth dijangka mengalihkan fokus untuk memburu seorang lagi pemain tengah untuk menambah kekuatan di bahagian berkenaan. Meskipun dikaitkan dengan beberapa pemain, United perlu menjual beberapa pemain untuk membiayai perpindahan berkenaan.

Antara nama yang dicanang bakal meninggalkan United ialah Scott McTominay, Christian Eriksen dan Victor Lindelof.