Man United terus memantapkan skuad mereka menjelang kempen musim 2024/25 dengan membawa masuk duo Bayern Munich, Mathijs de Ligt dan Noussair Mazraoui.
Musim 2023/24 menyaksikan United dibolosi 58 kali dalam liga. Rekod buruk ini turut menyebabkan The Red Devils menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kelapan.
Hal ini mendorong pengurusan The Red Devils menjadikan bahagian pertahanan sebagai bahagian yang perlu dimantapkan menjelang musim 2024/25.
Ini membawa kepada pembelian bek tengah muda Perancis, Leny Yoro dengan yuran perpindahan sebanyak €62 juta (RM301 juta). Malangnya, Yoro kemudiannya terpaksa berehat selama tiga bulan selepas mengalami kecederaan semasa kempen pra-musim United di Amerika Syarikat.
Keperluan pertahanan baru United semakin jelas kelihatan dalam aksi The FA Community Shield dengan Manchester City pada 10 Ogos lalu.
Pengurus The Red Devils, Erik ten Hag terpaksa menurunkan Facundo Pellistri sebagai bek kiri kecemasan susulan kecederaan yang menimpa Tyler Malacia dan Luke Shaw. Ini mendorong United menyegerakan usaha membawa de Ligt dan Mazraoui dengan yuran perpindahan £60 juta (RM341 juta).
Perpindahan kedua-dua pemain itu diumumkan United menerusi satu video kedua-dua pemain melapor diri di pusat latihan pasukan itu di Carrington.
Duo berkenaan bukan asing dengan ten Hag kerana pernah bekerjasama semasa berada di Ajax Amsterdam. De Ligt dan Mazraoui juga bakal bersua dengan dua bekas rakan sepasukan lama mereka di Ajax iaitu Lisandro Martinez dan Andre Onana.
De Ligt bakal menyarung jersi nombor 4 – jersi yang pernah disarung Steve Bruce, David May dan Phil Jones. Manakala Mazraoui pula menyarung jersi nombor 3 – jersi sama yang pernah disarung legenda Perancis, Patrice Evra.
Kehadiran duo berkenaan memberi kelegaan kepada penyokong United. Ini selepas mereka mendapat tahu Shaw perlu berehat selama tiga minggu kerana mengalami kecederaan betis.
De Ligt dan Mazraoui dijangka membuat penampilan pertama apabila The Red Devils menentang Fulham pada 17 Ogos ini.
Selepas menyempurnakan perpindahan dua bekas bintang Die Roten itu, United dijangka mengalihkan fokus mendapatkan pemain tengah baru.
The Red Devils dikaitkan dengan beberapa pemain tengah seperti pemain tengah Paris Saint-Germain, Manuel Ugarte dan jeneral tengah Belanda, Frenkie de Jong. Walau bagaimanapun, United perlu menjual beberapa pemain jika ingin membiayai perpindahan pemain tengah baru.