Bukan Cuma Mo Salah, Ini 3 Lagi Bintang EPL Ucap Selamat Tinggal
MakanBola
Liverpool FC

Legenda Liverpool, Mohamed Salah bukan satu-satunya bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mengucapkan selamat tinggal dalam aksi terakhir liga musim ini.

Ini kerana ada tiga lagi pemain yang turut melakukan perkara sama apabila kontrak mereka tamat pada 30 Jun ini. Trio tersebut ialah rakan sepasukan Salah, Andy Robertson dan dua bintang Manchester City, Bernardo Silva dan John Stones.

Salah dan Robertson mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong di Anfield selepas aksi terakhir kelab itu menentang Brentford. Perlawanan itu berkesudahan 1-1 dengan Kevin Schade menjadi penyelamat buat pelawat.

Meskipun seri, itu sudah cukup buat anak buah Arne Slot mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim hadapan. Salah dan Robertson meninggalkan kelab masing-masing merekodkan 442 dan 378 penampilan untuk The Reds.

Silva dan Stones pula gagal menutup babak akhir mereka bersama The Citizens dengan kemenangan. Ini selepas City tewas 2-1 kepada juara Liga Europa, Aston Villa di Stadium Etihad.

Selepas mendahului menerusi Antoine Semenyo, City kecewa apabila Ollie Watkins menyumbat dua gol buat Villa pada separuh masa kedua.

Silva dan Stones mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong di Stadium Etihad selepas masing-masing merekodkan 460 dan 295 penampilan. Duo berkenaan mengikut jejak jurulatih City, Pep Guardiola meninggalkan kelab berkenaan.

Guardiola memilih meninggalkan City dengan aksi menentang Villa sebagai aksi terakhir beliau. Beliau membantu City merekodkan 20 kejuaraan termasuk Carabao Cup dan The Emirates FA Cup musim ini.