Bunga Lada Inspirasi Jersi Ke-3 Negeri Sembilan
MakanBola
Warrix Malaysia

Motif bunga lada menjadi inspirasi Warrix untuk menghasilkan jersi ketiga Negeri Sembilan FC unuk baki musim 2025/26.

Jersi ketiga baharu Negeri Sembilan ini yang diberi gelaran “Musuhnya Habis Binasa” diperkenalkan Warrix menerusi satu video di semua platform rasmi mereka.

“Digelar “Musuhnya Habis Binasa”, jersi rasmi ketiga Negeri Sembilan 2025-2026 tampil dengan kombinasi warna hitam dan emas, digandingkan dengan elemen Bungo Lado yang melambangkan keunikan negeri ini,” kata Warrix dalam satu kenyataan.

Menariknya, motif bunga lada menjadi pilihan Warrix untuk jersi baharu Sang Rusa. Ini kerana bunga lada merupakan bunga rasmi dan identiti Negeri Sembilan.

Corak bunga lada jelas kelihatan pada jersi tersebut. Selain itu, ramai penyokong juga teruja melihat motif bendera Negeri Sembilan dalam jersi sama .

Jersi ini turut menarik perhatian beberapa pemain Sang Rusa yang dipilih sebagai model. Antaranya Joseph Esso, Mio Tsuneyasu dan Zainal Abidin Jamil.

Sebaik saja disiarkan di platform media sosial Warrix, ramai penyokong tidak sabar mendapatkan jersi berkenaan.

Seorang penyokong bernama Hasrul Nizam Sinclair berhasrat menjadikan baju tersebut sebagai baju raya. “Mantap. Baik, bulan puasa ini saya beli buat raya,” katanya di ruang komen Facebook.

WanSyafiq_22 turut senada dengannya. Dia menyifatkan pemilihan logo emas Negeri Sembilan hampir serupa dengan logo emas jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2023.

“Bagus. Logo emas macam jersi tempat lawan Kedah 2023. Bagus, Warrix,” katanya di Instagram.

Penyokong yang berhasrat mendapatkan jersi baharu itu lebih awal boleh mendapatkannya secara percuma dengan setiap pembelian di Warrix Concept Store Rahang pada 5 Februari ini bermula jam 10.00 pagi.

Jersi ketiga Negeri Sembilan ini dijual pada harga RM149. Penyokong juga boleh mendapatkannya di laman sesawang rasmi Warrix.