Buriram United Pertahan Trofi Shopee Cup, Padam Kebangkitan Selangor
MakanBola
Buriram United

Buriram United mempertahankan trofi Shopee Cup dengan menewaskan Selangor FC dalam aksi final kedua di Stadium Buriram.

Buriram berpotensi bergelar juara buat kali kedua dengan syarat mereka mempertahankan kelebihan satu gol. Selangor pula berpotensi menjadi wakil Malaysia pertama bergelar juara dengan syarat mereka mengatasi kelebihan satu gol tuan rumah.

Syahir Bashah dan Zikri Khalili menjadi pilihan jurulatih Selangor, Kim Pan-gon sebagai pengganti Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi. Guilherme Bissoli kembali berada dalam kesebelasan utama Buriram selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor menggunakan corak permainan pantas untuk memberi tekanan ke atas benteng pertahanan Thunder Castle.

Usaha Selangor memburu gol awal membuahkan hasil apabila Syahir meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-18. Percubaan jarak jauh beliau gagal ditangkap kemas Neil Etheridge sebelum menerjah jaring.

Tersentak, Buriram kembali memperkemaskan rentak permainan. Hasilnya, Suphanat Mueanta menyumbat gol penyamaan sembilan minit selepas itu.

Kingsley Schindler hampir menggandakan kelebihan Buriram pada minit ke-42. Malangnya, tandukan beliau tersasar selepas menerima hantaran sepakan sudut Robert Zulj.

Buriram terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Selangor tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan tidak membuat sebarang perubahan dengan permainan semakin rancak di Stadium Buriram.

Vitor Pernambuco hampir menceriakan kem Selangor dengan gol kedua pada minit ke-48. Percubaan mengelirukan beliau pantas dinafikan Etheridge sebelum dikeluarkan pertahanan Buriram.

Tatkala Selangor terus menyerang, Buriram menggandakan kelebihan agregat mereka menerusi Theerathon Bunmathan pada minit ke-55. Meskipun cuba disekat Faisal Halim, Theerathon melepaskan rembatan jarak jauh yang menewaskan Sikh Izhan Nazrel.

Selangor kemudiannya memasukkan pemain tengah Korea Selatan, Jeon Seung-min sebagai pengganti Syahir pada minit ke-63. Ini penampilan kedua pemain berusia 25 tahun itu selepas membuat penampilan pertama ketika menentang PDRM FC.

Serangan bertali arus yang digerakkan pelawat mendorong jurulatih Buriram, Mark Jackson memasukkan bek tengah Thailand, Shinnaphat Leeaoh untuk memperkukuh pertahanan.

Selangor terus memberi tekanan kepada Buriram untuk mengurangkan defisit gol tetapi gagal. Robert Zulj menyangka telah menjaringkan gol ketiga pada minit akhir perlawanan.

Malangnya, gol tersebut dibatalkan selepas VAR mendapati wujud kekasaran yang dilakukan pemain Buriram sebelum gol tersebut terhasil.

Keputusan ini menyaksikan Buriram mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada musim 2024/25 dengan keputusan agregat 3-1.

Claim Money Packet TnG