Kelab gergasi Thailand, Buriram United merekodkan pendapatan hampir RM40 juta dari segi jualan cenderamata.
Hal ini dikongsikan wartawan sukan Thailand, Ta Lao menerusi satu hantaran di X. Angka tersebut didedahkan dalam majlis meraikan penaja dan penyokong kelab itu di sebuah hotel di Bangkok.
“Buriram United merekodkan pendapatan sehingga 292 juta baht (kira-kira AS$9.2 juta/RM37.3 juta) dari segi jualan cenderamata untuk tahun 2025,” katanya.
Lebih 450,000 cenderamata terjual termasuk jersi pasukan yang diberi jolokan Thunder Castle itu. Hal ini menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 24% berbanding pada tahun 2024.
Peningkatan ini turut disokong dengan peningkatan pendapatan jualan cenderamata sebanyak 18% berbanding pada tahun 2024.
Peningkatan ini banyak dibantu pencapaian Buriram bukan saja di peringkat domestik tetapi juga di pentas Asia.
Selain meraih pelbagai trofi di peringkat domestik, Buriram juga berjaya mara ke peringkat suku akhir ACLE musim lalu.
Peningkatan pendapatan kelab turut membantu Buriram merekrut lebih ramai pemain berkualiti termasuk untuk musim 2025/26. Antaranya Eduardo Mancha, Filip Stojkovic dan Kingsley Schindler.