Cadangan Tunku Ismail Jadi Tumpuan, Idea Johan Kamal Cetus Tanda Tanya
MakanBola
MFL

Cadangan Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal meraih reaksi berbeza dari peminat.

Satu pertemuan melibatkan pihak Malaysian Football League (MFL) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta wakil kelab Liga Super telah diadakan di ibu kota baru-baru ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu semasa bola sepak tempatan.

Sesi meja bulat tersebut berlangsung dengan objektif utama untuk membincangkan pelbagai cabaran yang sedang dihadapi pasukan-pasukan Liga Super selain merangka solusi secara kolektif demi memastikan kelangsungan liga kekal kompetitif dan stabil.

Setiap pasukan yang hadir dilaporkan membawa isu tersendiri termasuk kekangan kewangan, struktur liga serta aspek pengurusan, sekali gus mencerminkan situasi semasa yang semakin mencabar buat kelab-kelab tempatan.

Namun begitu, tumpuan utama sudah tentu terarah kepada kehadiran DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencemar duli menghadiri sesi tersebut untuk turut serta dalam perbincangan.

Dalam sesi berkenaan, Baginda telah menyenaraikan lima isu utama yang dilihat menjadi punca kepada permasalahan Liga Malaysia ketika ini. Sebagai langkah lanjut, Baginda turut menyerahkan sebuah modul khas kepada setiap wakil kelab yang mengandungi cadangan penyelesaian secara menyeluruh.

Modul tersebut pantas menjadi perhatian ramai khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang ingin mengetahui pendekatan yang diketengahkan oleh Tunku Ismail.

Antara perkara yang turut menarik perhatian ialah pendekatan konsisten Baginda sebelum ini, termasuk cadangan penggunaan pengadil luar negara bagi perlawanan-perlawanan penting sebagai usaha meningkatkan tahap integriti serta kualiti pengadilan Liga Malaysia.

Dalam masa sama, cadangan yang dibawa oleh CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut kembali menjadi perbualan selepas beliau sebelum ini hanya menyatakan mempunyai solusi tanpa memperincikannya kepada umum.

Antara tiga idea utama yang diketengahkan termasuk penubuhan badan profesional pengadil, penambahan pemegang taruh dalam ahli lembaga pengarah MFL serta membuka ruang kepada kelab untuk merujuk badan kehakiman luar. Namun begitu, cadangan tersebut dilihat masih belum sepenuhnya selari dengan keperluan mendesak yang sedang dihadapi liga ketika ini.

Lebih daripada itu, sehingga kini masih belum terdapat sebarang formula khusus yang dikemukakan oleh Dr Johan yang benar-benar mampu menyelamatkan Liga Malaysia seperti yang pernah diutarakan sebelum ini.

Sebahagian peminat berpendapat cadangan tersebut juga kurang bersifat praktikal dalam menangani isu utama yang membelenggu kelab, khususnya melibatkan aspek kewangan yang kekal menjadi cabaran terbesar dalam Liga Super ketika ini.

Secara keseluruhan, sesi perbincangan tersebut berjalan lancar dan mengambil masa hampir tiga jam, dengan pelbagai pandangan serta cadangan dikongsikan dalam usaha mencari hala tuju terbaik buat bola sepak Malaysia.