Sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) pada Rabu menyaksikan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengemukakan lima isu.
Antara isu tersebut ialah isu infrastruktur asas bola sepak, pengurusan kewangan kelab yang lemah dan nilai penajaan Liga Malaysia (Liga M) belum berada di tahap memuaskan.
Tunku Ismail turut membangkitkan isu pembangunan akar umbi terutama pertandingan yang kurang kompetitif dan badan pengadil profesional dalam sesi sama.
Baginda memaklumkan semua isu tersebut sudah dibangkitkan dengan konsisten selama bertahun-tahun tetapi masih berlarutan sehingga hari ini.
Atas sebab itu, Tunku Ismail turut mengedarkan kertas cadangan model baginda kepada semua wakil 13 kelab Liga Super dan MFL sebagai usaha menangani isu-isu yang dinyatakan.
Baginda berharap menerusi modul berkenaan, ini akan memberi jalan penyelesaian kepada pelbagai isu yang timbul termasuk masalah kewangan yang membelenggu beberapa kelab Liga Super.
“”Kalau awak semua nak cakap pasal penyelesaian, saya ada penyelesaian bagaimana untuk menyelamatkan liga.
“Saya rasa semua boleh lihat sendiri fail (kertas cadangan) tersebut dan selepas itu, buatlah keputusan apa yang patut.
“Tidak semestinya awak kena setuju (dengan cadangan itu) kerana ini adalah satu cadangan. Ini adalah mengenai model yang terus kepada peminat,” katanya.
Sesi meja bulat MFL diadakan bagi membantu mencari solusi untuk menambah baik kualiti liga pada musim hadapan.