CAF Isytihar Maghribi Juara AFCON 2025
MakanBola
Equipe du Maroc

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) mengisytiharkan Maghribi sebagai juara Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.

Keputusan tersebut diumumkan Jawatankuasa Rayuan CAF selepas menerima rayuan yang dikemukakan oleh Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF).

Jawatankuasa Rayuan CAF berpandangan Senegal dianggap telah mengabaikan aksi final antara kedua-dua pasukan itu mengikut Artikel 84 Peraturan AFCON.

Justeru, pihak jawatankuasa memaklumkan Maghribi diisytihar sebagai pemenang dan dianugerahkan kemenangan percuma 3-0.

Aksi final AFCON 2025 dibayangi dengan kontroversi susulan tindakan ramai pemain Senegal meninggalkan padang ketika aksi final berlangsung.

Ini sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pengadil yang menganugerahkan sepakan penalti kepada Maghribi.

Selepas dipujuk ramai pihak termasuk bekas jurulatih Harimau Malaya, Claude Le Roy, Senegal kembali meneruskan perlawanan. Pasukan itu kemudiannya bergelar juara apabila meraih gol kemenangan pada masa tambahan.

Susulan keputusan itu, Topskills Sports UK melaporkan Senegal enggan memulangkan trofi AFCON yang dimenangi sebelum ini.

Malah, Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) juga dilaporkan mengancam untuk keluar dari CAF dan tidak akan menyertai AFCON sekiranya dipaksa menyerahkan trofi kejohanan itu.

Claim Money Packet TnG