Calon penyerang baharu Malaysia terus mempamerkan ketajaman di hadapan gawang.
Baru-baru ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan dua tonggak Liga Super bakal dinaturalisasikan.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan juga Manuel Hidalgo yang dipinjamkan ke Sri Pahang berpotensi untuk dinaturalisasikan.
“Bergson boleh naturalisasi sebagai langkah jangka pendek selepas genap 5 tahun di Malaysia, Hidalgo juga untuk jangka panjang, dan dengan pemain lain yg ada. Pemain JDT semua bersedia,” ujar Baginda dalam satu kenyataan di laman X.
Rekod jaringan penyerang kelahiran Brazil ini terus memukau tatkala beliau kini mengetuai senarai penjaring terbanyak Liga Super.
Beliau kini merekodkan 23 jaringan dalam 17 penampilan liga musim ini disusuli oleh Paulo Josue dengan 11 gol musim ini.
Bergson juga yang sudah melepasi jaringan ke-100 nya bersama skuad Harimau Selatan pada 26 September 2023 terus mempamerkan ketajaman bersama JDT ketika ini.
Usaha memantapkan Harimau Malaya juga diteruskan selepas DYAM Tunku Ismail mengenal pasti beberapa pemain warisan yang berpangkalan di Eropah.