Cameron Ng: Tempoh Singkat Tak Jejas Persiapan Malayan Tigress B-19
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih skuad Malayan Tigress B-19, Cameron Ng melihat dari sudut positif mengenai tempoh persiapan singkat yang dimiliki oleh pasukan muda wanita Malaysia itu.

Pada Ahad, skuad wanita bawah 19 tahun negara berkumpul untuk hari pertama sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan disertai oleh seramai 27 pemain.

Menurut Cameron Ng, persiapan pasukan bagi menghadapi Kejuaraan Wanita B-19 AFF pada minggu hadapan ketika ini berdepan kekangan tempoh yang singkat iaitu sekitar 6 hari.

”Untuk persiapan (pasukan) kali ini memang singkat, tidak sampai seminggu, (iaitu) hanya 6 hari,” kata Cameron Ng ketika ditemui pada Ahad.

Sungguhpun begitu, beliau dapat menarik nafas lega apabila para pemain yang dipanggil ini tak berdepan isu kecergasan oleh kerana kesemua mereka masih lagi beraksi di liga negeri masing-masing.

”Tapi bagi saya kelebihan yang kita miliki adalah kebanyakan pemain sedang beraksi di liga negeri, jadi setidaknya mereka mempunyai kecergasan.”

Oleh itu, fokus Cameron dan barisan kejurulatihan Malayan Tigress ketika ini adalah untuk membentuk satu keserasian yang mantap di dalam pasukan berbekalkan tempoh 6 hari ini.

”Jadi. saya tak perlu fikir sangat tentang isu kecergasan tapi dalam masa 6 hari ini, kita cuba dapatkan keserasian dalam pasukan dan itu satu cabaran utama buat kami,”

Pasukan Malayan Tigress B-19 ini akan memulakan kempen Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 dengan bertemu Kemboja pada Isnin, 9 Jun sebelum bertemu Thailand dan Indonesia pada 11 dan 13 Jun kemudian.