Telatah seorang peminat cilik Selangor yang berborak bersama bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman mengundang gelak tawa orang ramai.
Satu segmen yang dikendalikan oleh stesen radio, Hot FM, telah menjemput seorang peminat cilik Selangor bernama Sadha ke konti untuk berborak bersama-sama pemain JDT, Arif Aiman.
Sebelum ini, adik Sadha telah tular kerana memakai jersi Selangor dan berada bersama para penyokong JDT di stadium di tambah dengan reaksinya melihat pasukan kesayangannya tewas 1-6.
”Kenapa kalahkan Selangor?” soal adik Sadha yang ditemani penyampai seperti Johan, AG, Khairy Jamaluddin dan Fara Fauzana kepada Arif Aiman
”Adik Sadha, jangan merajuk. Dalam bola sepak memang macam itu. Ada (pasukan) kalah, ada (pasukan) menang dan ada (pasukan) seri,” jawab Arif sambil memujuk adik Sadha.
“Jadi, dalam aksi (final) ini, ada satu pasukan sahaja yang akan menang,” tambah Arif lagi dalam perbualan itu.
Adik Sadha sempat meminta Arif untuk menyampaikan salam buat dua lagi tonggak kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim yang sangat diminatinya.
”Nak cakap dengan Faisal Halim sebenarnya,” antara permintaan adik Sadha yang membuatkan orang ramai yang menonton turut tertawa.
”Nak minta kirim salam Akhyar Rashid dan Faisal Halim,” ujar adik Sadha kepada Arif Aiman yang merupakan salah seorang pemain JDT yang digemari peminat cilik itu.
Satu permintaan yang membuatkan netizen terhibur apabila adik Sadha sempat meminta jersi penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva daripada Arif Aiman.
”Nak jersi Bergson (Da Silva),” minta adik Sadha yang membuatkan satu konti pecah perut.
Terdahulu, JDT muncul juara Piala FA buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Selangor 6-1 di aksi final pada Sabtu lalu.
Hatrik Juan Muniz dan 1 gol masing-masing hasil sentuhan Arif Aiman, Bergson Da Silva serta Heberty Fernandes memastikan Harimau Selatan pulang membawa trofi.