Advertising
Central Coast Mariners Beri ‘Amaran’ Awal Kepada Terengganu
MakanBola
Central Coast Mariners

Kelab A-League, Central Coast Mariners dijangka menjadi pencabar hebat buat Terengganu FC sekiranya mereka mahu mara lebih jauh dalam saingan Piala AFC 2023-2024.

Ini kerana kelab Australia itu hadir dengan reputasi tersendiri. Musim lepas, mereka mencipta kejutan dengan membelasah Melbourne City 6-1 dalam aksi Grand Final A-League.

Ia dianggap satu kejutan kerana Melbourne City merupakan kelab satelit gergasi EPL, Manchester City. Selain itu, City Blues juga sudah menjulang A-League Premiership sebanyak tiga kali dari 2020-2021 hingga musim 2022-2023.

Ad

The Mariners juga turut membuktikan mereka bukan calang-calang dalam saingan liga. Dalam saingan A-League Premiership, mereka menduduki tangga kedua di belakang City musim lepas.

Ad

Salah satu sebab Central Coast Mariners berupaya mencabar A-League ialah kehadiran Jason Cummings sebagai penjaring terbanyak mereka. Musim lepas, penyerang kebangsaan Australia itu menyumbat 30 gol dalam 49 perlawanan.

Bagaimanapun, Cummings hanya kekal selama semusim dan telah menyertai bekas pesaing KL City FC, Mohun Bagan Super Giants.

Ad
Ad

Kehilangan bekas penyerang Hibernian itu amat dirasai The Mariners apabila mereka tewas kepada Sydney FC menerusi penentuan penalti dalam pusingan awal Australian Cup pada 13 Ogos lalu.

Ad

Justeru, beban menjaringkan gol kini perlu digalas oleh Christian Theoharous, Alou Kuol, Marco Tulio dan Dylan Wenzel-Halls. Ini sesuatu yang perlu diatasi jurulatih Central Coast Mariners, Nick Montgomery sebelum Piala AFC dan musim baru A-League bermula.

Dengan mereka kini masih mengharungi pra-musim sebelum A-League bermula pada Oktober ini, Terengganu patut memanfaatkan peluang mencipta kejutan ke atas Mariners.

Perlawanan pertama Kumpulan G membabitkan kedua-dua pasukan ini bakal berlangsung pada 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.