Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Abu Bakar membuka cerita mengenai perpindahan Arif Aiman ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi watak penting JDT sejak hampir tiga musim lalu sebagai antara pemain sayap paling berbisa pasukan.
Menerusi satu sesi audio siar bersama Koppa TV dan Hanif Miswan, Safirul berkongsi detik Arif memulakan karier bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan menjadi antara pemain paling menyinar di sana pada usia 12 tahun.
Arif kemudiannya bergelut untuk mengekalkan rentak dan prestasi terbaik susulan taktikal yang lebih menggunakan fizikal telah diterapkan oleh bekas pengendali, Lim Teong Kim.
“Arif Aiman bergelut pada umur 13-14 semasa di AMD bersama Lim Teong Kim dengan formasi 4-4-2 kerana saiznya yang kecil.
“Semasa di sana, beliau (Arif) tidak pernah beraksi sebagai pemain sayap. Beliau selalunya nombor 10 atau 8 (pemain tengah). Memang itu posisi asalnya. Beliau memang seorang pemain yang amat bagus dengan kawalan bola,” jelasnya kepada Koppa TV.
Perpindahan Arif pada usia 16 tahun ke JDT berlaku selepas Safirul menghubungi Alistair Edwards
“Pada ketika itu, kerana saiz yang kecil beliau tidak dapat bersaing bersama pemain lain seperti Luqman Hakim dan Harith Haiqal.
“Saya menghubungi Alistair Edwards pada ketika itu di JDT dan bertanya tempat buat Arif Aiman dan pada hujung dia Tingkatan 4, beliau telah menyertai JDT.
“Setiap pemain ada kemajuan tersendiri. Pada usia 18 ke 19 tahun baru kita melihat beliau memiliki saiz dan dengan tahap bola sepak yang telah digilap pada masa itu, dan beliau diubah beraksi sebagai pemain sayap,” jelasnya.
Beliau mengakui bahawa kualiti pemain tempatan dan import di JDT telah membantu kemajuan Arif Aiman dengan begitu memberangsangkan.
Anak jati Pahang itu kini merupakan watak penting buat skuad Harimau Selatan dan Harimau Malaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.