Chelsea dilihat semakin hampir memuktamadkan calon pengganti jurulatih sebelumnya, Enzo Maresca.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memaklumkan pengurus Strasbourg, Liam Rosenior menjadi pilihan utama pengurusan The Blues sebagai pengganti jurulatih Itali itu.
Ini kerana pengurusan kelab Ligue 1 itu dilaporkan sudah ada calon pengganti bekas jurulatih Hull City itu.
Salah satu nama yang dicanang sebagai pengganti Rosenior ialah bekas jurulatih Wolves, Gary O’Neill.
Sekiranya semua berjalan lancar, Rosenior bukan saja berpotensi menjadi jurulatih Chelsea yang baharu. Malah, beliau juga bakal memulakan tugas dengan membimbing pasukan itu menentang Fulham.
Selain Rosenior, jurulatih Newcastle United, Eddie Howe dan jurulatih FC Porto, Francesco Farioli turut dikaitkan dengan kerusi panas itu.
Walau bagaimanapun, bekas pemain Fulham itu menjadi pilihan Chelsea kerana pencapaian cemerlangnya bersama Strasbourg.
Beliau bukan saja membantu pasukan itu menamatkan Ligue 1 di tangga ketujuh musim lalu. Rosenior turut membimbing pasukan itu cemerlang dalam saingan Liga Konferens Europa UEFA (UECL).
Chelsea terpaksa mencari jurulatih baharu selepas Maresca meninggalkan kelab itu. Susulan itu, ketua jurulatih Chelsea B-21, Calum McFarlane memikul tugas membimbing pasukan itu ketika menentang Manchester City baru-baru ini.