Chelsea memastikan tiket final FA Cup menjadi milik mereka dengan menewaskan Leeds United di peringkat separuh akhir.
The Blues mahu segera menamatkan siri kekalahan yang dialami pasukan itu sejak 5 April lalu. Prestasi tidak menentu Chelsea turut menyebabkan kelab itu memecat jurulatih, Liam Rosenior.
Leeds pula turun dengan misi mengakhiri penantian ke final FA Cup buat kali pertama dalam tempoh 56 tahun. Selain itu, ini juga peluang anak buah Daniel Farke melebarkan rekod tanpa kemenangan Chelesa.
Jurulatih interim, Calum McFarlane memilih meletakkan Cole Palmer di bangku simpanan. Dominic Calvert-Lewin menjadi sandaran gol utama The Whites.
Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea berusaha mencari gol awal menerusi Joao Pedro, Alejandro Garnacho, Pedro Neto dan kapten, Enzo Fernandez.
Pedro hampir merobek gawang Leeds pada minit ke-22. Malangnya, percubaan bekas penyerang Brighton itu terkena tiang.
Gol pendahuluan yang dicari The Blues akhirnya muncul 11 minit selepas itu. Fernandez menanduk hantaran bola Neto yang menewaskan Lucas Perri.
Leeds cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Farke memasukkan Anton Stach dan Joe Rodon untuk kembali memperkemaskan rentak pasukannya.
Dua minit selepas babak kedua bersambung, Stach hampir menyumbat gol penyamaan. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Leeds terus memberi tekanan kepada Chelsea tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan The Blues akan menentang Manchester City di pentas final.
City mara ke final FA Cup selepas menyingkirkan Southampton 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sofascore memilih Fernandez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4. Kapten Leeds, Ethan Ampadu dipilih pemain terbaik pasukan itu dengan markah 7.8.