Chelsea harus membayar sejumlah pampasan yang tinggi serta tidak masuk akal menurut sebahagian penyokong susulan pemecatan pengurus, Liam Rosenior
Liam Rosenior sah dipecat pada awal pagi Khamis selepas Chelsea mencatatkan kekalahan ke-5 berturut-turut tanpa menjaringkan gol termasuklah tewas kepada Brighton 0-3 baru-baru ini.
Lantaran itu, pihak pengurusan Chelsea mengambil langkah drastik dengan memecat jurulatih muda berusia 42 tahun itu selepas hanya 4 bulan mengendalikan The Blues sejak bulan Januari lalu.
Walau bagaimanapun, Chelsea terpaksa membayar mahal atas keputusan mengejut memecat Liam Rosenior, apabila laporan media mendakwa pampasan besar perlu dijelaskan oleh pihak kelab.
Menurut Daily Mirror, Chelsea perlu membayar Liam Rosenior sejumlah 24 juta Pound Sterling kira-kira RM128 juta sebagai pampasan untuk kontrak 6 tahun setengah yang dipersetujui pada Januari.
Secara keseluruhannya, Chelsea telah membayar sebanyak 160 juta Pound Sterling, sekitar RM856 juta sebagai bentuk pampasan sejak era Premier League bermula berdasarkan laporan Sports Bible.
Setakat ini, Chelsea masih memantau calon-calon terbaik bagi mengendalikan pasukan dengan nama Andoni Iraola antara yang hangat dikaitkan selepas beliau akan berpisah dengan Bournemouth pada hujung musim ini.
Tugas sementara di bangku jurulatih Chelsea bakal digalas oleh Calum McFarlane hingga akhir musim ini ketika mana The Blues kini dalam pengejaran slot ke pentas Eropah dan masih memburu trofi Piala FA.