Kelab jaguh London, Chelsea terpaksa mengharapkan seteru utamanya, Man United untuk tewas dalam perlawanan akhir Piala FA Inggeris nanti.
Ini selepas skuad kendalian Mauricio Pochettino itu mengakhiri kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keenam setelah menumbangkan Bournemouth 2-1 di laman sendiri hasil jaringan memukau Moses Caicedo dan Raheem Sterling selain gol tunggal pelawat terhasil melalui jaringan sendiri Benoit Badiashile.
Kemenangan tipis ini meletakkan Chelsea dalam kelompok enam pasukan terbaik dengan 63 mata daripada 38 perlawanan sekaligus mengesahkan tempat ke kejohanan Eropah selepas terlepas peluang untuk beraksi pada musim ini.
Walau bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada Chelsea bakal beraksi dalam saingan Europa League atau Europa Conference League memandangkan The Blues perlu menanti keputusan perlawanan akhir Emirates FA Cup di antara Man City dan Man United pada hujung minggu ini.
Hal ini kerana, juara FA Cup bakal meraih slot ke Europa League dan sekiranya Man City bergelar juara, maka Chelsea yang berada di tempat keenam bakal mendapat slot tersebut untuk bermain di Europa League musim hadapan.
Walau bagaimanapun, jika Man United yang menjulang kejuaraan, maka The Red Devils akan menjadi pasukan kedua yang bermain di Europa League bersama Tottenham Hotspurs dan Chelsea hanya sekadar beraksi di Europa Conference League sekaligus menjadi wakil England dalam kejohanan tersebut.
Man United bakal berdepan aksi hidup dan mati dalam misi melayakkan diri ke kejohanan peringkat Eropah musim hadapan apabila perlu menewaskan penyandang juara EPL, Man City di perlawanan akhir Emirates FA Cup pada 25 Mei hadapan.