Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah mempamerkan semangat juang tinggi sebelum kecundang dalam pusingan suku akhir China Masters 2024.
Pearly-Thinaah tewas kepada beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning di Shenzhen.
Juara Hong Kong Open 2024 itu mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan beregu ke-300 dunia dari Jepun, Arisa Igarashi dan Ayako Sakuramoto.
Aksi ini juga dilihat peluang terbaik buat Pearly-Thinaah membalas dendam ke atas Sheng Shu dan Tan Ning. Ini kerana beregu China itu menafikan peluang beregu keenam dunia itu meraih gelaran juara Arctic Open 2024.
Sheng Shu-Tan Ning meraih kemenangan 21-12, 21-17 bagi membolehkan mereka muncul juara kejohanan berkenaan.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Malah, pada satu ketika, kedua-duanya terikat pada kedudukan 12-12.
Perlawanan kemudiannya dihentikan seketika bagi membolehkan pasukan perubatan memeriksa mata Thinaah. Ini selepas pukulan raket beliau terkena mata semasa cuba membalas pukulan regu China itu.
Selepas menerima rawatan, Thinaah kembali beraksi di atas gelanggang. Beregu negara terus memberikan cabaran sengit sebelum tewas set pertama dengan keputusan 21-16.
Set kedua menyaksikan Sheng Shu-Tan Ning terus menunjukkan aksi dominan di atas gelanggang. Ini selepas mereka memiliki kelebihan selesa pada kedudukan 15-4.
Kelebihan yang dimiliki pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024 itu terus dipertahankan sebelum mereka meraih kemenangan 21-17.
Kekalahan ini menyaksikan hanya satu regu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berpeluang mengiringi kemaraan dua lagi wakil Malaysia.
Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutawan-Mohd Reza Pahlevi Isfahani dalam aksi suku akhir beregu lelaki.
Dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas mengatasi cabaran lawan masing-masing.
Sheng Shu-Tan Ning bakal berdepan pilihan ketiga dari Jepun, Chiharu Shida dan Nami Matsuyama di peringkat separuh akhir. Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Li Yi Jing-Luo Xu min dengan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Fokus Pearly-Thinaah kini beralih kepada saingan World Tour Finals (WTF) yang berlangsung pada Disember ini. Mereka merupakan sebahagian daripada lima wakil negara yang mengesahkan kelayakan ke kejohanan tersebut.